Tinggalkan lori ketika melalui sekatan, bongkar kegiatan penagihan dadah

Tinggalkan lori ketika melalui sekatan, bongkar kegiatan penagihan dadah

Kota Kinabalu: Tindakan seorang lelaki lari meninggalkan kenderaan ketika melalui operasi pemeriksaan jalan di Jalan Tuaran Bypass, di sini, membongkar kegiatan penagihan dadahnya.

Dalam operasi jam 2.30 petang, lelaki terbabit bagaimanapun berjaya ditahan sebelum didapati memiliki kertas timah dan satu tiub plastik berisi sisa hablur jernih disyaki syabu.

Antara kenderaan berat yang diperiksa ketika operasi pemeriksaan jalan di Jalan Tuaran ByPass, Kota Kinabalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi berkenaan dijalankan untuk mengenalpasti salah laku membabitkan kenderaan perdagangan.

Bagaimanapun katanya, sebaik menyedari tindakan suspek melarikan diri, pasukan operasi terus bertindak mengejar lelaki terbabit.

“Suspek terus dibawa ke Bahagian Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Keputusan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zamzuri, pihaknya turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 0.04 gram di dalam beg sandang yang dibawa suspek.

Sementara itu, Mohd Zamzuri berkata, tujuan operasi itu dijalankan adalah bagi mengesan pemandu warga asing yang memandu kenderaan perdagangan terutamanya lori yang membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Selain itu katanya, ia juga bagi mengesan pemandu lori yang tidak memiliki lesen memandu kerana dibimbangi boleh membahayakan pengguna-pengguna jalanraya yang lain.

“Operasi ini dijalankan selama dua hari bermula Selasa lalu dan sebanyak tujuh keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Manakala 11 kenderaan jenis lori turut diarahkan untuk menjalani pemeriksaan timbang muatan di Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan, Telipok, di sini,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, hasil daripada operasi itu, sebanyak sembilan jenis lori diarahkan hadir ke mahkamah atas kesalahan membawa muatan lebih daripada had yang ditetapkan.

Manakala katanya, dua lagi dan kenderaan dikenakan kompaun atas kesalahan yang sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|