Warga asing pindah petrol tanpa permit didenda RM300,000, penjara 18 bulan

Warga asing pindah petrol tanpa permit didenda RM300,000, penjara 18 bulan

Tawau: Seorang lelaki warga asing didenda RM300,000 dan 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memindahkan 500 liter petrol ke dalam gelen tanpa permit pada 1 Jun lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Rajul Diliun, 45, mengikut Seksyen 20(1), Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta 122.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua tahun lagi jika gagal membayar denda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 11.40 pagi, pada 1 Jun lalu di sebuah stesen minyak di Semporna.

Tertuduh bersama beberapa lagi yang lain ditahan sepasukan anggota polis yang ketika itu sedang melaksanakan Ops Kontraban.

Ketika ditahan, tertuduh sedang leka mengisi petrol ke dalam 20 gelen yang dipercayai diangkut menggunakan kereta sorong.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan (KPDNHEP), Malai Rosidi Malai Muhamad.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|