Pelajar cemerlang SPM sebak terima sijil di hadapan ayah

Pelajar cemerlang SPM sebak terima sijil di hadapan ayah

Kota Kinabalu: Tiada yang lebih manis bagi seorang pelajar apabila dapat menggembirakan kedua ibu bapa dengan memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2021.

Lebih sebak lagi, Ahmad Nabil Abidin, 18, memperoleh keputusan cemerlang itu ketika beliau berhadapan dengan dugaan apabila ayahnya diserang penyakit strok pada awal tahun ini.

Mohamad dan Tah Nia pada sidang media Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2021 di SMK Agama Kota Kinabalu.

Menurut Ahmad Nabil, dia tidak menyangka dalam keadaan dia diduga tapi masih mampu membuat ayahnya yang sedang sakit berbangga dengannya.

“Ayah saya sakit pada awal tahun dan ketika itu saya berada di asrama sedang membuat persediaan untuk peperiksaan SPM. Dalam keadaan bimbang dengan kesihatan ayah, saya terpaksa kuat menempuhnya sehingga beberapa kali air mata mengalir.

“Namun saya tidak sangka keputusan saya peroleh hari ini begitu cemerlang untuk mereka berbangga,” katanya ketika ditemui media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Ahmad Nabil berkata, dia bertekad untuk terus belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya ingin menjadi seorang doktor.

“Keadaan kesihatan ayah saya ketika ini mendorong untuk saya belajar bersungguh-sungguh dan diharap dapat mencapai cita-cita untuk menjadi seorang doktor di masa akan datang,” katanya.

Lainey

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang Lainey Lee Yeong Chian, 18, berkata, keputusan cemerlang yang diperoleh itu hasil daripada usahanya selama ini sebelum menghadapi SPM.

“Bagi saya ini SPM saja, salah satu laluan untuk pergi ke hadapan lagi. Jadi saya bermula dari SPM dengan berusaha bersungguh-sungguh selain mendapat dorongan daripada ibu bapa serta guru,” katanya.

Lainey dari SMK Tinggi Kota Kinabalu memperoleh keputusan sembilan A+ dan satu A.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, jurang pencapaian SPM 2021 antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar semakin mengecil.

“Maknanya, sistem pendidikan dan peperiksaan kita mampu untuk membantu pelajar di sekolah luar bandar. Mereka mahu juga jadi pelajar cemerlang sama seperti di kawasan bandar,” katanya.

Pengarah Pendidikan Sabah, Tah Nia Jaman memaklumkan, pada 2021, seramai 34,438 calon dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan menduduki SPM berbanding 33,454 calon pada tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhannya, pencapaian calon SPM Sabah bagi 2021 yang diukur melalui pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) iaitu nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik iaitu 5.35. Peratus lulus layak menerima sijil ialah 89.76 peratus.

“Bilangan calon lulus semua mata pelajaran sekurang-kurangnya Gred E dalam mata pelajaran diambil adalah seramai 16,689 calin iaitu 48.46 peratus pada 2021. Seramai 253 calon berjaya dengan cemerlang memperoleh Gred A (A+, A dan A-) pada 2021,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|