Susulan video tular: Lelaki tarik tangan murid kerana bimbang jatuh longkang

Susulan video tular: Lelaki tarik tangan murid kerana bimbang jatuh longkang

Kota Kinabalu: “Rakaman yang tular di media sosial bukanlah cubaan culik, sebaliknya lebih kepada menyelamatkan kanak-kanak daripada bahaya kemungkinan terjatuh ke dalam longkang”.

Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe menerusi kenyataan yang dibuat di facebook.

Jin Zhe berkata, selepas rakaman berkenaan tular, timbul pelbagai komen negatif yang lebih menjurus kepada cubaan menculik.

Katanya, dia terus bertindak menghubungi beberapa pihak termasuk polis dan guru besar sekolah berkenaan bagi memahami keadaan sebenar.

“Polis memaklumkan bahawa kedua-dua pihak membuat laporan polis dan sudah diambil keterangan oleh pihak berkuasa

“Lelaki berbaju oren menjelaskan dia sebenarnya hanya cuba membantu murid perempuan berkenaan supaya tidak bermain di atas kayu penutup longkang berkenaan,” katanya.

Jin Zhe berkata, polis turut memaklumkan kejadian berkenaan sebenarnya hanya sekadar salah faham antara kedua belah pihak.

“Menerusi rakaman itu, kita dapat lihat terdapat sekumpulan kanak-kanak yang bermain di atas penutup kayu longkang berkenaan yang dikhuatiri berbahaya.

“Lelaki terbabit kemudiannya menarik kanak-kanak itu keluar dari penutup longkang berkenaan.

“Sekiranya ia adalah cubaan menculik, kanak-kanak itu sepatutnya ditarik masuk ke dalam kereta. Namun sebaliknya dia dilepaskan seperti dalam rakaman berkenaan.

“Kes difahamkan masih disiasat, saya juga menghormati permintaan keluarga untuk hasil siasatan penuh, tetapi kes ini tidak dilihat sebagai cubaan menculik,” katanya.

Sehubungan itu, Jin Zhe mengesa orang ramai supaya tidak terus menyebarkan kenyataan yang tidak berasas.

“Sekolah ini masih selamat dan dakwaan menculik juga adalah tuduhan yang amat berat. Selebihnya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|