Video murid ditarik lelaki tidak dikenali bimbangkan ibu bapa

Video murid ditarik lelaki tidak dikenali bimbangkan ibu bapa

Kota Kinabalu: Gelagat seorang lelaki yang dirakam menarik tangan kanak-kanak perempuan menggusarkan orang ramai selepas tular di media sosial, sejak pagi tadi.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di hadapan sebuah sekolah rendah di Taman Jindo, di sini, semalam, itu turut menimbulkan pelbagai persepsi terutamanya dalam kalangan ibu bapa.

Dalam rakaman berdurasi 1 minit 37 saat itu memaparkan tindakan dua lelaki yang menaiki sebuah Perodua Myvi sedang menunggu di luar pekarangan sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, rakaman turut memaparkan terdapat seorang lagi murid sekolah rendah yang duduk di bahagian belakang Perodua Myvi berkenaan.

Selepas beberapa minit menunggu, lelaki yang memakai baju oren terbabit keluar dari kenderaan sebelum tiba-tiba kelihatan seperti menarik seorang kanak-kanak yang bermain di luar pekarangan sekolah berkenaan.

Lelaki terbabit kemudiannya melepaskan murid berkenaan selepas kelakuannya itu disedari beberapa murid dan ibu bapa yang berada di lokasi sama.

Deasoka akan cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak polis.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|