Sandakan: Seramai 26,959 ketua isi rumah di Sabah dan Labuan yang layak mendapat rebat bayaran bil Sabah Electricity Sdn Bhd belum membuat tuntutan setakat ini.
Timbalan Pengurus Besar Perkhidmatan Pengguna SESB, Fauziah K Hamid, berkata mereka adalah sebahagain daripada 47,720 ketua isi rumah di Sabah dan Labuan yang layak diberikan rebat sebanyak RM40 setiap bulan.
Katanya, setakat ini hanya 20,761 ketua isi rumah yang memohon kemudahan rebat yang disediakan kerajaan melalui SESB itu.
“Rebat RM40 ini adalah satu usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin tegar, yang mana semua pengguna SESB yang berdaftar dalam E-Kasih layak untuk mendapatkan rebat ini.
“Jadi SESB memohon bantuan dan kerjasama daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kerana pihak UPPM adalah salah satu cara untuk kami boleh berhubung dengan penduduk kampung agar mereka dapat menikmati rebat RM40 ini,” katanya.
Fauziah berkata demikian ketika ditemui pada sesi ramah mesra SESB bersama UPPM Sabah, di sini, semalam.
Menurutnya, melalui rebat itu, mana-mana ketua isi rumah dalam senarai E-Kasih akan diberikan potongan bayaran bil elektrik.
Jelasnya, jika bil elektrik kurang RM40, bermaksud mereka tidak perlu membayar apa-apa.
Namun, katanya ramai ketua isi rumah yang layak belum memohon rebat berkenaan.
Susulan keadaan itu pihaknya mengadakan kerjasama dengan UPPM Sabah bagi membantu menyampaikan maklumat itu kepada mereka yang layak.
Sementara itu, Pengarah UPPM Sabah, Datuk Matbali Musah berkata, pihaknya menghargai peranan dan kerjasama berkenaan.
“Kita minta kepada semua jentera kita di UPPM di kawasan-kawasan supaya memastikan mereka yang layak dapat didaftarkan dalam e-kasih supaya mereka juga mendapat manfaat yang diberikan oleh kerajaan untuk rebat RM40 ini.
“InsyaAllah pihak UPPM akan membantu supaya apa juga subsidi ataupun rebat akan dapat dimanfaat sebaik mungkin oleh pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah, insyaAllah,” katanya.
-Deasoka