Kempen kesedaran elak denggi melalui program gotong-royong

Kempen kesedaran elak denggi melalui program gotong-royong

Putatan: Kampung Sri Pandan di sini, dipilih sebagai lokasi Program Gotong Royong Mega peringkat negeri anjuran Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan menjaga kebersihan bagi mengelak wabak denggi.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang menyempurnakan program berkenaan berkata, Kampung Sri Pandan adalah antara lokasi mencatatkan kes denggi membimbangkan.

Shahelmey ditemui pemberita pada program gotong-royong mega di Kampung Sri Pandan, Putatan.

Katanya, bagi mengelak ancaman denggi daripada terus merebak, usaha diambil untuk meningkatkan tahap kebersihan termasuk melalui gotong-royong mega demi kepentingan masyarakat kampung dan sekitarnya.

“Gotong-royong mega ini yang diadakan KKM di seluruh negara dan di Sabah, KKM memilih Kampung Sri Pandan. Ini kerana sepanjang enam bulan pertama tahun ini, kampung ini merekodkan 10 kes denggi.

“Keadaan itu membimbangkan kerana wabak denggi memgancam kesihatan umum. Jadi gotong-royong ini diadakan bagi menyedarkan komuniti setempat agar peka menjaga kebersihan bagi menghalang pembiakan nyamuk aedes.

“Membersihkan kawasan juga dapat mewujudkan persekitaran yang selesa dan sihat,” katanya.

Gotong-royong berkenaan yang bermula awal pagi hingga tengah hari tadi turut diselitkan dengan beberapa aktiviti lain termasuk saringan kesihatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|