4,319 graduan dirai pada Majlis Konvokesyen Ke-23 UMS

4,319 graduan dirai pada Majlis Konvokesyen Ke-23 UMS

Kota Kinabalu: Seramai 4,319 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang tamat prngajian pada tahun 2021 diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 204 graduan adalah penerima Ijazah Kelas Pertama, selain 99 graduan antarabangsa dari pelbagai negara seperti China, Brunei, Indonesia, Bangladesh, Timor Leste, Pakistan, Korea Selatan, Iran, Zanzibar, Vanuatu, Arab Saudi dan India.

Tun Juhar mengisytiharkan Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23.

Selain itu, majlis konvokesyen pada kali ini turut menyaksikan seramai sembilan pelajar orang kurang upaya (OKU) dan dua penerima posthumous turut menerima skrol ijazah masing-masing.

Secara keseluruhan, seramai 77 graduan Doktor Falsafah, diikuti graduan peringkat sarjana (357), prasiswazah (3,664), diploma pasca (87) dan diploma (134) menerima skrol dengan seramai 1,272 orang adalah graduan lelaki, manakala 3,047 perempuan.

Pada sesi pertama pagi tadi, seramai 461 menerima skrol ijazah masing-masing yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin selaku Canselor UMS.

Tun Juhar turut menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera dan Bukan Bumiputera), Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor, Pingat Emas Alumni, Hadiah Zainal Abidin Bador, Hadiah Tun Zaki (Tempatan dan Antarabangsa) dan Anugerah Kecemerlangan dan Bakti Siswa HiUMS kepada graduan cemerlang.

Sidang kedua yang berlangsung pada sebelah petang pula menyaksikan seramai 987 graduan menerima ijazah masing-masing daripada Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

Beliau yang juga Penasihat Kehormat Ambank Group turut dijadual menyempurnakan penyampaian skrol ijazah kepada 732 penerima pada sidang tiga (pagi) dan 596 graduan pada sidang empat (petang) esok.

Penyampaian ijazah pada Isnin ini pula akan disempurnakan Naib Canselor, Prof Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin membabitkan seramai 896 graduan pada sidang lima (pagi) dan 647 graduan pada sidang enam (petang).

Majlis Konvokesyen Ke-23 UMS turut menyaksikan seramai 27 graduan Fakulti Pengajian Islam (FIS) yang menjadi kumpulan pertama bergraduasi di fakulti itu menerima Ijazah Sarjana Muda Pendarasan Islam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|