Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) komited untuk terus mengukuhkan kerjasama dan persefahaman dengan media dalam menyampaikan mesej dan informasi berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kepada masyarakat.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip, berkata langkah itu selaras dengan inisiatif Love KK yang dilancarkan DBKK pada 2 April lalu untuk menggalakkan penyertaan penduduk bandar raya yang berbilang kaum, agama dan peringkat umur dalam aktiviti kemasyarakatan di bandar raya ini.
“Dengan adanya inisiatif ini warga bandar raya diharap dapat memanfaatkan peluang sedia ada untuk berbakti dan memberi sumbangan kepada bandar raya,” katanya pada program makan tengah hari bersama media, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntar Vanar dan Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie.
Noorliza berkata DBKK menggariskan empat objektif Love KK iaitu membentuk dan membangunkan komuniti yang inklusif dalam persekitaran bandar raya berkualiti dan berdaya huni; memupuk semangat perpaduan dan keterlibatan komuniti melalui kolaborasi yang efektif; memberi manfaat kepada masyarakat dan kumpulan sosial yang disasarkan dalam mana-mana program atau aktiviti pelaksanaan; serta mencapai halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Selain itu, katanya DBKK turut merangka pelbagai program dan aktiviti di bawah Love KK melalui tujuh komponen iaitu KK Bersih (Clean KK), KK Hijau (Green KK), KK Ceria (Vibrant KK), KK Indah (Beautiful KK), KK Berdaya Huni (Liveable KK), KK Sihat (Healthy KK) dan Warisan KK (Heritage KK).
Sementara itu, Noorliza berkata program makan tengah hari itu adalah antara pengisian Program Santai Love kk Bersama Media yang dianjurkan Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) DBKK, Rosnah Datu Tumai.
Katanya, selain program hari ini, dua lagi program ialah Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Love KK Bersama Media pada Selasa lalu dan Perlawanan Persahabatan Boling Love KK Bersama Media pada Khamis lalu.
“Semoga majlis ini akan mencapai objektifnya dan dijadikan sebagai satu medium untuk mengeratkan silaturrahim, saling kenal mengenali, bertukar-tukar fikiran dan mengembangkan idea bagi mengenal pasti pendekatan yang lebih baik dan berkesan dalam usaha menyebar luas promosi dan publisiti kolaborasi penganjuran program-program DBKK dan Love KK kepada rakyat,” katanya.
-Deasoka