Remaja maut tercampak dari kereta selepas rempuh lori simen

Remaja maut tercampak dari kereta selepas rempuh lori simen

Papar: Seorang remaja lelaki maut selepas tercampak keluar dari kereta dipandunya akibat merempuh sebuah lori simen di laluan Pan Borneo di Kilometer 23 Jalan Papar Lama – Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari, mangsa berusia 17 tahun yang parah di disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kinarut.

Lori simen yang terbabit kemalangan di laluan Pan Borneo di Kilometer 23 Jalan Papar Lama – Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu.

Katanya, pemandu lori simen dari arah yang sama telah memberhentikan kenderaan di kawasan bahu jalan.

“Apabila mangsa tiba di lokasi kejadian, pemandu lori simen melihat Perodua Viva hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali kemudian bahagian kanan Perodua Viva merempuh bahagian tengah sebelah kanan lori.

“Akibat itu, Perodua Viva mengalami kerosakan dan pemandu tercampak keluar daripada kereta lalu tertiarap di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamaruddin berkata, susulan perlanggaran itu, pemandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan masih diteruskan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Papar untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|