Budayakan aktiviti sukan dapat dorong kekal sihat pada pasca endemik: Shahelmey

Budayakan aktiviti sukan dapat dorong kekal sihat pada pasca endemik: Shahelmey

Putatan: Membudayakan aktiviti sukan dalam rutin masyarakat dilihat dapat mendorong rakyat di negeri ini terus kekal sihat dan sejahtera pada pasca endemik.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pembabitan aktiviti sukan bukan sahaja mengembalikan budaya sihat, bahkan semangat perpaduan di kalangan rakyat sejurus kekangan yang dialami selama dua tahun ketika pandemik Covid-19.

Para peserta dalam program Kayuhan Santai Sabah Maju Jaya/Keluarga Malaysia Putatan 2022, di perkarangan parkir Dewan Sri Putatan, Putatan, pagi tadi.

“Selaras dengan pemulihan, pembukaan pasca endemik yang diumumkan kerajaan, jadi kita melihat rakyat kita kembali keluar rumah dalam keadaan sihat dan sejahtera.

“Selama dua tahun, dalam tempoh kawalan pergerakan ramai rakyat kita atau masyarakat kita mempunyai kekangan untuk keluar mengadakan aktiviti-aktiviti seperti ini (sukan),” katanya.

Shahelmey ketika menyampaikan sijil kepada peserta program Kayuhan Santai Sabah Maju Jaya/Keluarga Malaysia Putatan 2022.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam program Kayuhan Santai Sabah Maju Jaya/Keluarga Malaysia Putatan 2022, di perkarangan parkir Dewan Sri Putatan, Putatan, pagi tadi.

Hadir sama adalah Pegawai Daerah Putatan, Haryani Anah Abd Kahar dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmey Mohamad Taib.

Para peserta dalam program Kayuhan Santai Sabah Maju Jaya/Keluarga Malaysia Putatan 2022.

Dalam program bermula sekitar jam 7 pagi itu, Shahelemey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat turut berkesempatan menyertai acara kayuhan berbasikal sejauh lima kilometer bersama para peserta yang terlibat.

Program berkenaan turut disertai lebih 100 peserta dengan membabitkan beberapa kelab reakrasi sukan dan masyarakat setempat.

Peserta kanak-kanak juga turut menyertai program berkenaan.

Beliau dalam pada itu turut berharap acara sukan santai seperti program tersebut dapat diadakan dari semasa ke semasa sebagai usaha memupuk budaya sukan di daerah Putatan.

“Program Kayuhan Santai Putatan yang diadakan pada kali ini berobjektifkan memupuk budaya sihat dikalangan masyarakat Putatan.

Para peserta yang berjaya menamatkan acara kayuhan berbasikal sejauh lima kilometer.

“Jadi pada pagi ini, program ini dilaksanakan dan saya berasa gembira melihat sambutan yang baik daripada masyarakat yang tinggal di daerah Putatan,” katanya.

Untuk rekod, program berkenaan merupakan anjuran bersama pihak Kelab Kebajikan, Sukan & Rekreasi Majlis Daerah Putatan bersama Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Putatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|