Doa, tidak putus asa rahsia kejayaan

Doa, tidak putus asa rahsia kejayaan

Kota Kinabalu: “Sentiasa berdoa kepada Yang Maha Esa, memohon keberkatan daripada ibu bapa dan sentiasa berpegang teguh dengan prinsip serta jadual pengajian yang ditetapkan”.

Itu kunci kejayaan Anugerah Pelajaran Diraja yang diterima Graduan Fakulti Pengajian Islam (FIS), Mohamad Hilmi Mohd Zalis, 24, pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali ke-23, Sidang 1, semalam.

Anugerah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin yang juga Canselor UMS.

Mohamad Hilmi berkata, kejayaan itu hasil catatan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.93 yang diperolehi.

Katanya, dia amat terkejut namun pada masa sama sangat bersyukur apabila menerima makluman penganugerahan berkenaan.

“Saya tidak sangka memandangkan terdapat lebih ramai graduan lain yang mempunyai keputusan yang lebih cemerlang.

“Dorongan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh rakan-rakan serta pensyarah yang tidak putus-putus memberikan ilmu pengetahuan dan pandangan bernas menjadi salah satu sebab mengapa saya boleh sampai hingga ke tahap ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan.

Mohamad Hilmi berkata, dia yang tidak pernah putus asa untuk mendapatkan anugerah dekan pada setiap semester sentiasa berusaha sebaiknya.

Anak bungsu daripada lima beradik yang berasal dari Johor itu berkata, selepas kejayaan ini, dia berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana secara pembelajaran jarak jauh.

“Sementara menunggu peluang berkenaan, saya bekerja di syarikat abang dalam industri perkhidmatan dan bekalan peralatan rumah,” katanya yang juga pernah bertugas di Politeknik Sultan Johor.

Untuk rekod, seramai 27 graduan FIS menerima ijazah pada majlis ini dan menjadi kumpulan pertama dari fakulti ini yang bergraduan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|