Sebak terima PhD untuk mendiang anak

Sebak terima PhD untuk mendiang anak

Kota Kinabalu: Seorang ibu terpaksa menahan sebak sebaik mendengar nama mendiang anak, Ng Yi Ming, 35, yang diumumkan sebagai graduan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23, hari ini.

Yi Ming yang dilaporkan meninggal dunia tahun lalu selepas mengalami masalah jantung menjadi salah seorang penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang psikologi.

Ibu kepada penuntut berkenaan, Cheng Lak Mooi, 65, mewakili mendiang anaknya untuk mengambil sijil yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin.

Lak Mooi berkata, dia sangat gembira kerana dapat memenuhi hasrat mendiang untuk hadir dan menerima skrol bagi pihaknya.

“Sebelum menerima PhD dalam bidang psikologi di UMS, mendiang pernah menerima Ijazah Sarjana Muda Kepujian Psikologi Industri dan Organisasi di UMS.

“Selain itu juga menjadi penerima Ijazah Sarjana Sains Psikologi Perkembangan Kanak-kanak dari Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya ketika ditemui.

Lak Mooi berkata, mendiang anaknya adalah seorang yang sangat rajin dan sangat cekal mencapai kejayaan dalam pendidikannya.

Katanya, mereka sekeluarga sangat berbangga kerana mendiang berjaya melangkah ke peringkat tertinggi walaupun sedang menderita penyakit jantung.

“Mendiang membuat pembentangan Viva pada 21 Januari tahun lalu sebelum diberikan tempoh selama tiga bulan untuk membuat pembetulan tesis.

“Namun dia tetap berjaya melakukannya walaupun terpaksa berdepan dalam keadaan kesihatan yang kurang baik,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai penyakit jantung yang dihidapi mendiang, Lak Mooi berkata, anaknya pernah menjalani rawatan pembedahan penggantian injap pada bulan September 2014.

“Bagaimanapun, selepas menjalani pembedahan besar yang berisiko tinggi itu, mendiang sering mengalami masalah ‘heart palpitations’.

“Dia menghembuskan nafas terakhir pada 21 Februari tahun lalu selepas lebih 20 tahun menderita penyakit ‘mitral valve prolapse’,” katanya.

Untuk rekod, mendiang dianugerahkan ijazah secara anumerta dan salah seorang daripada 77 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|