Promosi Tawau sebagai syurga makanan

Promosi Tawau sebagai syurga makanan

Tawau: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) diminta supaya membangunkan pelancongan berasaskan makanan atau pelancongan gastronomi di daerah ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Tawau begitu terkenal dengan statusnya sebagai ‘syurga makanan’.

Lawatan kerja yang diadakan di Majlis Perbandaran Tawau.

“Kita mahu menarik pelancong untuk datang ke Tawau untuk merasai atau menikmati makanan yang dijadikan sebagai ‘trademark’ bagi sesuatu kawasan,” katanya ketika dalam satu lawatan kerja di Majlis Perbandaran Tawau, hari ini.

Hadir sama ialah, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Pang Pick Lim@Joseph.

Tambah beliau lagi, masyarakat Tawau yang terdiri daripada pelbagai etnik, mewujudkan variasi citarasa makanan tersendiri yang turut melambangkan tradisi mahupun adat resam yang diamalkan.

“Sebagai contoh, Masyarakat Bugis cukup dikenali dengan pelbagai adat dan tradisi termasuklah jenis-jenis makanannya yang unik dan menarik dari segi rasa serta cara pembuatannya.

“Antara makanan tradisi mereka ialah Burasak, Barobok, Tumbu dan banyak lagi,” katanya.

Sehubungan itu Jafry yakin, usaha menarik pelancong ‭untuk datang ‬menikmati makanan bakal menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan di daerah itu.

“Di samping itu, ini bagi mengukuhkan lagi produk pelancongan gastronomi, produk dan aktiviti Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) juga perlu terus dibangunkan.

“Tawau mempunyai kelebihan pusat pelancongan yang tersendiri khususnya dari segi kekayaan biodiversiti alam semulajadinya.

“Antara tempat menarik yang kini sedang dinaik taraf kemudahan infrastrukturnya adalah termasuk Batu Bersusun, Rumah Api Tinagat dan beberapa tempat lagi.

“Dengan kepelbagaian produk pelancongan ini, pastinya Tawau tidak hanya menjadi tempat persinggahan pelancong tetapi memastikan impian untuk menjadikan daerah ini sebagai destinasi pelancongan dapat dicapai,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|