Kota Kinabalu: Dua nama disebut-sebut bakal bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) pada pemilihan sempena Persidangan Agung Tahunan Ke-36 dan Ke-37 parti itu, akhir bulan ini.
Seorang adalah pemimpin senior dan memegang portfolio penting Kabinet negeri iaitu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, manakala lawannya yang dianggap pemimpin baharu iaitu Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai.
Dr Joachim, yang kini menyandang Naib Presiden PBS sudah lima penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang sejak 2004, manakala Joniston yang kini Setiausaha Agung PBS baru melalui tiga pilihan raya selepas menjadi ADUN Kiulu sejak 2013.
Mengulas persaingan kedua pemimpin itu, penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Lee Kuok Tiung, menyifatkan kedua-dua pemimpin itu mempunyai kelebihan masing-masing.
Katanya, Dr Joachim memiliki kelebihan dari segi kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Menteri, manakala Joniston dilihat memiliki perhubungan awam (PR) yang baik sejajar latar belakangnya sebagai bekas wartawan.
Bagaimanapun, katanya penentuan siapa lebih sesuai menjawat jawatan kedua tertinggi PBS itu bersifat subjektif bergantung kepada kriteria yang menjadi pertimbangan perwakilan yang akan membuat pilihan nanti.
“Kita sedia maklum Joniston pada pemilihan lalu juga bertanding jawatan Timbalan Presiden tetapi menarik diri saat akhir atas nasihat pucuk pimpinan parti untuk memberi laluan kepada penyandang sekarang, Datuk Radin Maleh yang lebih senior untuk jawatan itu.
“Dari segi tempoh pembabitan dalam PBS, sudah pastinya Dr Joachim juga ada kelebihan tetapi Joniston sebagai bekas wartawan dan bekas Ketua Biro New Straits Times (NST) Sabah dilihat mempunyai PR yang lebih baik.
“Joniston juga adalah Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) paling lama iaitu 22 tahun dan kita sedia maklum sebagai wartawan beliau mempunyai ‘connection’ lebih rapat dengan semua ‘politician’ daripada latar belakang ideologi politik berlainan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pemilihan PBS.
PBS mempunyai tiga kuota jawatan Timbalan Presiden, masing-masing mewakili Bumiputera bukan Islam yang kini disandang Radin, diikuti Bumiputera Islam yang disandang Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, manakala satu lagi ialah kuota bukan Bumiputera yang disandang bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Yee Moh Chai.
Difahamkan, hanya jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera bukan Islam bakal menyaksikan pertandingan selepas Radin yang menyandang jawatan itu sejak 2018 menyatakan tidak mempertahan jawatan, manakala penyandang bagi dua kuota lagi dijangka mengekalkan jawatan masing-masing.
Jawatan Presiden PBS yang kini disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili juga dijangka dikekalkan oleh Ahli Parlimen Kota Marudu itu berikutan tiada yang mencabar kedudukannya.
Mengulas lanjut, Kuok Tiung berkata, walaupun masih baharu, Joniston berjaya melaksanakan beberapa usaha memantapkan parti seperti pendaftaran keahlian secara dalam talian dan penerbitan ringkasan catatan sejarah perjuangan PBS.
Jelasnya, kemampuan Joniston memenangi kerusi DUN Kiulu sejak 2013 bermula dengan hanya 44 majoriti kepada berlipat kali ganda pada PRU 2018 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 menunjukkan beliau adalah seorang pemimpin yang turun padang.
“Dalam parti juga beliau menang pemilihan Ketua Bahagian Kiulu, pernah dilantik Ketua Penerangan PBS dan sekarang sebagai Setiausaha Agung PBS. Ia adalah indikator jelas beliau mendapat kepercayaan daripada kepimpinan PBS.
“Dr Joachim pula adalah ADUN selama lima penggal namun kurang menyerlah dan dilihat kurang daya tarikan sebab tidak berapa lantang sekali gus dilihat tidak ada keberanian mengeluarkan pandangan mengenai isu semasa.
“Apapun saya melihat beliau melakukan tugas yang baik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah. Saya juga percaya ahli PBS inginkan pemimpin yang berani bersuara seperti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (pengasas PBS) dan Maximus,” katanya.
Kuok Tiung juga percaya persaingan di antara Joniston dan Dr Joachim tidak akan menimbulkan perpecahan dalam PBS kerana ia adalah sebahagian daripada amalan demokrasi.
-Deasoka