Sapawi YDP baharu USIA

Sapawi YDP baharu USIA

Kota Kinabalu: Ketua Bahagian Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) USIA Sabah yang baharu bagi sesi 2022-2024 pada pemilihan sempena Mesyuarat Agung Ke-35 pertubuhan itu di Menara USIA 1 Borneo, di sini, semalam.

Bekas Ahli Parlimen Sipitang itu memperolehi 135 undi mengenepikan dua pencabarnya, Datuk Mohd Yusof Apdal yang memperolehi 126 undi dan penyandang sebelum ini, Datuk Sairin Karno yang hanya memperolehi 50 undi.

Abdul Hakim – Timbalan YDP USIA

Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua USIA, Ketua USIA Bahagian Tungku, Abdul Hakim Gulam Hassan dipilih menduduki jawatan itu setelah menewaskan dua pencabarnya iaitu Datuk Arsit Sedi dan Datuk Alipudin P Puyon.

Seramai 10 orang pula menawarkan diri untuk lima jawatan Naib Yang Dipertua dengan pemenangnya ialah Madaile Haji Basri, Prof Datuk Dr Kassim Mansur, Prof Adjung Dr Suhaili Riman, Datuk Arshad Idris dan Datuk Pg Abdul Rahman Pengiran Digadong Haji Muhammad Galpam.

Siti Aminah – Ketua Wanita USIA

Kejutan turut berlaku bagi jawatan Ketua Badan Wanita USIA apabila penyandangnya Datuk Azizah Mohd Dun yang memperolehi 140 undi tewas di tangan Ketua Wanita USIA Bahagian Kuala Penyu, Datuk Siti Aminah Aching yang memperolehi 167 undi.

Bagi jawatan Ketua Belia USIA, seperti ramalan awal, penyandang jawatan itu, Jamawi Jaafar berjaya mempertahankan kedudukan dengan memperolehi 178 undi mengenepikan pencabarnya, Salleh Jatil yang memperolehi 136 undi.

Jamawi Jaafar – Ketua Belia USIA

Seramai 18 orang barisan Ahli Majlis Tertinggi USIA yang dipilih pada pemilihan kali ini pula ialah Datuk Matin Datuk Pandin, Haji Amat Saruna, Hajah Zulpah Tun Datu Mustapha, Haji Jumain Abdul Ghani, Ruslan Muharram, Haji Yahya OKK Haji Zainal, Datuk Zakaria Edris, Abd Kahar Abd Rahman, Hajah Nani Abah, Piduman Hai Abdul Majid, Edul Haji Mulud, Ustaz Senan Jipar, Ustaz Serubih Marimin, Ahmad Mohd Said, Datuk Haji Pengiran Saifuffin Pg Tahir, Haji Rafaeh Enarji, Ustaz Danial @ Zainal Aliudin dan Hajah Nursuhana Abdullah.

Sementara itu, ketika berucap menangguhkan mesyuarat agung berkenaan, Sapawi yang juga bekas Pengarah Yayasan Sabah berkata, barisan yang dipilih kali ini memikul satu amanah dan tanggungjawab besar dalam melaksanakan serta memperkasakan gerakan dakwah di Sabah.

Menurutnya, tugas itu tidak mampu dilakukan secara berseorangan tanpa adanya sokongan serta kerjasama daripada barisan tertinggi USIA selain dokongan seluruh ahli USIA di semua peringkat.

“Kita akan bekerja dan bergerak dalam satu pasukan bagi memperkasakan gerakan dakwah di negeri ini selain turut memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan ekonomi dan kebajikan ahli USIA,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|