Seorang maut, dua cedera kereta terbalik

Seorang maut, dua cedera kereta terbalik

Kota Belud: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik beberapa kali ketika menuruni bukit di Jalan Kota Belud-Kota Marudu, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, dua lagi lelaki yang juga penumpang Proton Saga berkenaan terselamat namun dilaporkan mengalami cedera termasuk seorang parah.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, dalam kejadian berkenaan, pemandu yang maut berusia 40 tahun manakala dua lagi penumpang masing-masing berusia 33 dan 39 tahun.

Katanya, pemandu dan penumpang hadapan dilaporkan turut tercampak keluar dari kenderaan sebelum terjatuh di dalam parit di laluan bertentangan.

“Hasil siasatan awal, kenderaan ketiga-tiga mangsa didapati bergerak dari arah Kota Marudu menghala ke Kota Kinabalu.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika menuruni bukit, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga terbalik beberapa kali dan masuk ke dalam parit konkrit,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Shahrudin berkata, pemandu disyaki meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa yang cedera terus dibawa ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Shahrudin menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu dan mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Selain itu katanya, pengguna jalan raya juga digesa supaya memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|