Lapangan Terbang Lama Tawau sesuai dijadikan litar sukan permotoran – Jafry

Lapangan Terbang Lama Tawau sesuai dijadikan litar sukan permotoran – Jafry

Tawau: Lapangan Terbang Lama Tawau, di sini, yang kini terbiar sesuai dijadikan litar sukan permotoran sebagai tarikan baharu di daerah ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Jafry meninjau Lapangan Terbang Lama Tawau yang dicadang sebagai litar tetap sukan permotoran di Tawau.

Katanya, tapak lapangan terbang itu dimiliki kerajaan negeri dan sewajarnya dibangunkan semula untuk aktiviti yang bermanfaat serta berupaya menjana ekonomi setempat.

“Saya akan panjangkan perkara ini kepada kerajaan negeri, sekiranya boleh diletakkan di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah atau Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Jafry menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang acara ‘Tawau ET Drag Race’.

“Selepas semua selesai, barulah kita boleh membuat penambahbaikan dan jadikan ia sebagai litar acara sukan permotoran di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan acara ‘Tawau ET Drag Race’, di sini, semalam.

Antara kenderaan yang mengambil bahagian dalam acara acara ‘Tawau ET Drag Race’.

Katanya, perbincangan bersama pemimpin tempatan juga sudah diadakan untuk menjadikan tapak lapangan terbang itu sebagai lokasi acara sukan permotoran secara tetap.

Di Semenanjung, katanya banyak tempat seperti itu sudah dibenarkan oleh kerajaan untuk dijadikan lokasi penganjuran pelbagai aktiviti termasuk sukan.

“Saya yakin sekiranya kawasan ini dijadikan litar yang tetap, sudah pasti ia juga akan menjadi pusat tarikan pelancongan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengai acara berkenaan, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata ia wajar diberikan sokongan dan terus dikembangkan bagi menggalakkan pembabitan golongan belia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|