Projek jalan raya bawa limpahan ekonomi kepada penduduk Tongod – Masiung

Projek jalan raya bawa limpahan ekonomi kepada penduduk Tongod – Masiung

Tongod: Penduduk sekitar Kuamut bakal menikmati limpahan ekonomi susulan pelaksanaan dua projek jalan raya merentasi Pantai Timur ke kawasan pedalaman menerusi daerah Tongod.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, gabungan kedua-dua rangkaian jalan raya berturap itu akan memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya.

Masiung menerima cenderamata pada program Tagal Tradisi anjuran Jabatan Perikanan Sabah dan lapan jawatankuasa tagal di Kampung Entilibon Asal, Tongod.

“Kedua-dua projek jalan raya ini bakal membawa ledakan ekonomi penduduk termasuk kemunculan pekan baharu yang menjadi mercu tanda daerah Tongod.

“Paling ketara jajaran jalan ini nanti akan memberi nafas baharu kepada industri pelancongan. Ia merupakan berita baik kepada pengusaha pusat peranginan hutan tropika terkemuka iaitu Imbak Canyon,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Tagal Tradisi anjuran Jabatan Perikanan Sabah dan lapan jawatankuasa tagal di Kampung Entilibon Asal, di sini, semalam.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, pembinaan projek jalan itu turut memudahkan penduduk Tongod ke Kota Kinabalu sekali gus menjimatkan masa perjalanan dari lima ke tiga jam.

“Laluan ini bukan sahaja membuka akses perhubungan darat tetapi mewujudkan banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat setiap kawasan laluannya,” katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan kedua-dua rangkaian jalan raya sejauh 102 kilometer itu menghubungkan Linayukan, Tongod dan Sinaron di Keningau sejauh 55 kilometer serta satu lagi jalan baharu dari Kampung Imbak ke pusat peranginan tropika di Imbak Canyon sejauh 47 kilometer.

Katanya, kedua-dua projek yang dijangka siap dalam tempoh kurang lima tahun itu menelan belanja sebanyak RM320 juta dan RM300 juta.

“Fasa pertama membabitkan Jalan Linayukan, Tongod ke Sinaron, Keningau yang kini sudah mula dilaksanakan manakala Jalan Imbak ke Imbak Canyon dijangka bermula awal tahun depan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|