Suspek pecah rumah mempunyai tiga rekod jenayah

Suspek pecah rumah mempunyai tiga rekod jenayah

Keningau: Lelaki yang berjaya ditahan selepas terjatuh dari atap rumah di Taman MDK 2, di sini, mempunyai tiga kes jenayah lampau membabitkan kes dadah dan pecah rumah.

Malah ketika ditahan, lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu turut membawa beberapa barangan curi yang diambil daripada tempat kejadian.


Rakaman CCTV memaparkan suspek memecah masuk rumah penduduk di taman perumahan MDK 2, Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan kes pecah rumah berkenaan pada jam 9 malam tadi.

Katanya, sepasukan Unit MPV dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Suspek berjaya ditahan selepas dibantu orang awam yang berjaya menangkapnya apabila terjatuh dari bumbung rumah.

“Hasil pemeriksaan polis terhadap badan dan beg pinggang yang dipakai suspek menemui beberapa barangan milik tuan rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, pemeriksaan terhadap keadaan fizikal suspek tidak mengesan sebarang kecederaan yang serius.

Namun katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek pula didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Suspek adalah seorang lelaki tempatan yang mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan satu kes pecah rumah.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Nor Rafidah berkata, polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu sehingga tertangkapnya suspek dalam kes ini.

Katanya, orang ramai khususnya penduduk di daerah ini dinasihatkan supaya sentiasa menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada pihak polis untuk tindakan segera.

Terdahulu, kejadian itu sempat dirakam penduduk kawasan perumahan berkenaan sebelum tular di laman sosial facebook sejak pagi tadi.

Rakaman yang mendapat perhatian ramai dan pelbagai reaksi itu memaparkan suspek ditolak dari atas bumbung sebelum berjaya ditahan polis.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|