Suami isteri hilang ditemui selamat di tanah perkuburan

Suami isteri hilang ditemui selamat di tanah perkuburan

Beaufort: Pasangan suami isteri yang dilaporkan hilang selepas pergi meninjau tanah yang dijual di Kampung Ulu Binsulok, Membakut, Sabtu lalu, ditemui selamat, hari ini.

Mangsa Amir Hamjah Abdul Kahfi, 43, dan isterinya Rita Hijiyah Mohd Syuaib, 43, ditemui orang awam yang terus menghubungi pihak polis, jam 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang individu yang menemui pasangan suami isteri terbabit.

“Pasangan suami isteri itu ditemui di kawasan tanah perkuburan Kampung Pimping dalam keadaan selamat.

“Jarak mangsa ditemui kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, pasangan terbabit dipercayai tersesat ketika meninjau kawasan tanah yang hendak beli di Kampung Ulu Binsulok sebelum ditemui di tanah perkuburan Kampung Pimping, Membakut.

“Kedua-dua mereka kemudian dihantar ke Pondok Polis Komuniti (PPK) Binsulok untuk tindakan lanjut,” katanya

Semalam, pasangan terbabit dilaporkan hilang apabila tidak kembali ke rumah selama dua hari selepas meninjau tanah yang hendak dibeli di Kampung Ulu Binsulok, Membakut.

Pasangan terbabit dikatakan keluar dari rumah mereka di Kampung Sabok Baru, Kinarut, jam 9 pagi, Sabtu lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|