Tuntul enak dimakan tetapi bukan mudah mencarinya

Tuntul enak dimakan tetapi bukan mudah mencarinya

Membakut: Enak dimakan tetapi siapa tahu untuk mencari tuntul bukan semudah disangka.

Itu yang dapat digambarkan kepada peminat tuntul, sejenis siput sedut yang hanya boleh didapati di pesisir pantai dan perairan sekitar laut Kuala Penyu dan Kampung Binsuluk, di sini.

Mazzary menunjukkan tuntul yang dijualnya di gerai tepi jalan Kampung Binsuluk, Membakut.

Strukturnya sama seperti siput sedut yang lain namun sedikit memanjang dan mempunyai bahagian ekor yang tajam sehingga boleh mencederakan orang yang memegangnya.

Biasanya siput ini enak dimasak lemak, kicap atau sos tiram tetapi bahagian ekornya pula harus dipotong terlebih dahulu bagi memudahkan penggemar menikmati makanan laut itu.

Mazzary menunjukkan proses memotong bahagian ekor tuntul yang tajam supaya memudahkan pelanggan menyedut siput berkenaan selepas dimasak.

Menurut seorang pencari dan peniaga tuntul, Mazzary Moggo, 22, dia pernah tidak sedarkan diri akibat disengat ikan pari ketika mencari tuntul.

Katanya, walaupun kejadian itu sudah berlaku dua tahun lalu namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk menjadikan tuntul sebagai sumber pendapatan utama baginya.

Struktur tuntul lebih panjang berbanding sibut sedut yang lain dan mempunyai bahagian ekor yang panjang serta tajam.

“Mencari tuntul ini sudah menjadi salah satu pendapatan utama bagi sebahagian penduduk kampung di sini selain menangkap ikan dan bubuk (udang geragau) mengikut musim masing-masing.

“Bagi saya banyak cabaran yang perlu dihadapi antaranya terpaksa turun seawal jam 2 pagi ketika air surut untuk ‘menuntul’ (mencari tuntul).

Sharildah melayan pelanggan yang datang ke gerainya untuk membeli tuntul.

“Ketika itu kami terpaksa berhati-hati dengan haiwan berbisa termasuk ikan pari selain sentiasa memakai sarung tangan untuk memegang siput supaya tidak cedera akibat terkena bahagian hujung ekornya yang agak tajam,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Binsuluk, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga tuntul, Sharildah Ag Amit, 32, berkata, tuntul yang dijual mereka dimasukkan dalam bekas botol plastik mineral besar dengan harga RM5.

“Rata-rata kami menetapkan harga yang sama iaitu RM5 sebotol dan lima botol untuk harga RM20.

“Kebanyakan yang datang membeli tuntul adalah orang dari luar terutama dari Labuan, Kota Kinabalu, Ranau dan Keningau.

“Ada yang datang semata-mata mahu membeli tuntul di gerai kami,” katanya.

Bercerita lanjut cabaran yang terpaksa dihadapi untuk mencari tuntul, Sharildah berkata, mereka terpaksa meredah laut sehingga ke paras pinggang untuk mendapatkan siput sedut yang berkualiti.

“Memang tuntul boleh didapati di pesisir pantai namun ia sudah terdedah dengan matahari dan menyebabkan siput itu tidak bertahan lama untuk dijual.

“Kalau kami cari di laut, ia boleh tahan sehingga dua hari dan rasanya lebih segar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|