Suami isteri hilang ketika lihat tanah di Ulu Binsuluk

Suami isteri hilang ketika lihat tanah di Ulu Binsuluk

Beaufort: Suami isteri dilaporkan hilang selepas pergi melihat tanah yang hendak dibeli di Kampung Ulu Binsuluk, Membakut, di sini, Sabtu lalu.

Mangsa Amir Hamjah Abdul Kahfi, 43, dan isterinya Rita Hijiyah Mohd Syuaib, 43, dikatakan keluar dari rumah mereka di Kampung Sabok Baru, Kinarut, kira-kira jam 9 pagi.

Kereta Alza dinaiki pasangan ditemui di tepi jalan Kampung Ulu Binsuluk, Membakut.

Bagaimanapun pasangan berkenaan tidak kembali semula ke rumah selama dua hari dan telefon bimbitnya gagal dihubungi.

Berikutan itu, anak kepada pasangan terbabit kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Membakut, jam 11 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis kemudian pergi ke lokasi kejadian dan mendapati kereta Perodua Alza disyaki dinaiki pasangan itu berada di tepi jalan Kampung Ulu Binsuluk.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Pasangan terbabit masih belum ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, sebaik menerima maklumat daripada pihak polis, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu dikerah ke lokasi kejadian dan melakukan operasi pencarian dengan radius dua kilometer.

“Operasi SAR ditangguhkan pada jam 5.30 petang dan operasi akan diteruskan pagi esok,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|