Suami berang, simbah isteri air panas sebelum tikam perut sendiri

Suami berang, simbah isteri air panas sebelum tikam perut sendiri

Kota Kinabalu: Akibat gagal mengawal kesabaran, seorang suami akhirnya bertindak menjirus air panas terhadap isterinya sebelum menikam diri sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pondo, Pulau Gaya, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, pasangan yang baru berkahwin beberapa bulan lalu berkenaan dikatakan bergaduh berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi.

Keadaan isteri suspek yang parah akibat disimbah air panas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, sebelum insiden berlaku, mangsa berusia 40 tahun dikatakan sedang menjerang air di dapur rumah.

Bagaimanapun katanya, pertengkaran tiba-tiba tercetus antara mereka dan suspek berusia 41 tahun itu terus mengambil cerek air yang sedang dijerang dan menyimbah ke arah mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur di bahagian bahu dan tangan kiri.

“Manakala suspek pula terus mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan bertindak menikam perut sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, siasatan mendapati, selama berkahwin, suspek sering ditendang dan ditampar oleh mangsa apabila bertengkar mengenai masalah kewangan.

“Pertengkaran semakin buruk apabila mangsa mengungkit perkara-perkara lalu dan itu dipercayai menyebabkan suspek gagal mengawal emosi,” katanya.

Sementara itu, George berkata, setakat ini, mangsa dan suspek masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan Seksyen 309 akta yang sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|