UPKO kecewa Hamzah tidak terima pandangan pelbagai pihak berhubung kad warga asing

UPKO kecewa Hamzah tidak terima pandangan pelbagai pihak berhubung kad warga asing

Kota Kinabalu: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kecewa dengan kenyataan terbaharu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam yang tidak mahu menerima pandangan pelbagai pihak berhubung kad warga asing di negeri ini.

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kenyataan Hamzah itu adalah berhubung tindakan beliau yang mempertahankan cadangan kerajaan mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing di Sabah.

“Datuk Seri Hamzah Zainuddin perlu memahami kesan dan impak negatif yang dikhuatiri berpunca daripada tindakan mengeluarkan kad pengenalan tanpa penjelasan sewajarnya kepada semua pihak berkepentingan.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu menimbulkan banyak persoalan berbanding penyelesaian yang diharapkan oleh UPKO dan banyak pihak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah mesti menjelaskan sama ada niat dan cara kerja kad pengenalan tersebut adalah sama seperti yang dicadangkan oleh kerajaan persekutuan kepada Pas Sementara Sabah (PSS) dua tahun lalu.

“Ketua Menteri beberapa hari lalu berkata di bawah langkah yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri minggu lepas, kerajaan mahu mengeluarkan ‘Kad Warga Asing’.

“Oleh itu, jika cadangan dan syor itu datang daripada agensi kerajaan yang sama yang pernah mencadangkan PSS sebelum ini, kemungkinan besar cadangan yang sama sekarang walaupun dengan nama yang berbeza.

“UPKO berharap kerajaan pada hari ini tidak bermain dengan nama yang mengelirukan seperti niat kad yang baharu dicadangkan ini bukan untuk memberi dokumen pendatang asing tanpa izin (PATI) atau memberi kerakyatan kerana PSS ketika itu tidak pernah berniat untuk memberikan kemudahan tersebut,” katanya.

Madius dalam pada itu menggesa Hamzah menjelaskan siapa ‘orang asing’ yang dikenal pasti untuk diberikan kad pengenalan terbabit.

“Seperti yang UPKO katakan sebelum ini, terdapat empat kategori masalah pendatang asing di Sabah dan setiap orang mesti memahami perbezaannya.

“Terdapat PATI, pelarian, kanak-kanak/orang tanpa kerakyatan dan mereka yang mendapatkan kad pengenalan secara haram atau secara tidak sah

“Kenyataan yang datang daripada semua pemimpin politik dan parti dari dalam kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membantah pemberian kad pengenalan ini kepada PATI seolah-olah menunjukkan bahawa pemimpin kerajaan semasa sama ada tidak memahami sepenuhnya keadaan atau mereka hanya bermain-main.

“Kerajaan Persekutuan cuba untuk mengelirukan orang ramai lebih jauh tentang keadaan itu,” katanya.

Sehubungan itu, Madius meminta supaya menteri berkenaan berterus-terang sama ada kad pengenalan yang dicadangkan untuk warga asing di Sabah ini adalah untuk kategori pendatang iaitu pelarian.

“Jika begitu, tidak ada bezanya dengan PSS yang dibatalkan. Kerajaan dan pemimpin kemudiannya perlu memohon maaf dan menjelaskan kepada rakyat betapa mereka telah mengelirukan dan membohongi orang ramai selama ini tentang isu PSS,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika cadangan kad pengenalan ini yang hendak diberikan kepada pendatang selain pelarian seperti orang tanpa kerakyatan, maka cadangan ini adalah lebih bahaya dan melampaui skop PSS yang kontroversi.

“Anda memberi pengiktirafan kepada kategori pendatang baharu iaitu orang tanpa kerakyatan dengan memberi mereka kad pengenalan yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

“Kerajaan dan semua pemimpinnya kemudiannya mesti menjelaskan kepada rakyat apakah ini yang mereka dapat dalam mengundi kerajaan negeri sekarang untuk berkuasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|