Pendaki Gunung Kinabalu cedera terjatuh dibawa turun

Pendaki Gunung Kinabalu cedera terjatuh dibawa turun

Ranau: Seorang pendaki Gunung Kinabalu yang terjatuh dan mengalami kecederaan terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dalam kejadian di kilometer 5.8, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, lelaki berusia 27 tahun terbabit sukar bergerak dan dilaporkan perlu dibantu untuk turun ke kaki gunung.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 21 anggota dan pegawai termasuk Mosar dan malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota PBB Mosar dan peserta latihan Ex-Storm bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan stretcher robinson oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar pasukan EMRS ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.02 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|