Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah bersetuju melantik Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Pekerja Asing Tanpa Dokumen dan Warga Asing di Sabah yang baru diwujudkan.
Jawatankuasa itu ditugaskan untuk mengumpul cadangan atau input daripada agensi penguatkuasa, pemain industri, pemimpin politik dan pemimpin masyarakat mengenai pendekatan terbaik menangani isu pekerja asing tanpa dokumen di Sabah.
Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), berkata kerajaan Pusat dan negeri bersetuju bahawa pendatang asing tanpa izin (PATI) mesti didakwa dan dihantar pulang ke negara asal dengan segera.
“Ketika ini kita tidak tahu jumlah sebenar PATI di Sabah yang mengambil alih pekerjaan yang rakyat tempatan tidak berminat. Mereka hilang daripada dikesan, kita tidak tahu di mana mereka berada, siapa mereka atau apa mereka buat.
“Jika kita tidak dimaklumkan mengenai aktiviti mereka, ia mendedahkan rakyat kita kepada ancaman keselamatan, selain bahaya kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, sebagai pengerusi jawatankuasa baharu itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ketua agensi penguatkuasa, majikan yang mengambil pekerja asing dan pemimpin politik, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang serta pemimpin masyarakat.
Beliau berkata, selepas beberapa siri pertemuan itu selesai dan semua data sudah dikumpulkan, jawatankuasa berkenaan akan membentangkan satu kertas kerja kepada Kabinet untuk dibincangkan lebih lanjut dan diharap penyelesaian kepada masalah itu dapat dikenal pasti.
“Saya percaya kita dapat mencari penyelesaian terbaik terhadap situasi ini selepas perbincangan mendalam dengan semua pihak berkepentingan.
“Saya menetapkan tempoh tiga bulan bermula hari ini untuk membentangkan kertas kerja itu kepada Kabinet dan saya berharap hasilnya nanti dapat diterima semua pihak, khususnya rakyat Sabah,” katanya.
-Deasoka