Tekong terjun laut tinggal bot sarat muatan petrol

Tekong terjun laut tinggal bot sarat muatan petrol

Semporna: Seorang tekong bertindak terjun ke laut meninggalkan bot yang sarat dengan muatan petrol bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tanjung Pantau-Pantau, di sini, Semalam.

Bot enjin sangkut itu dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia Semporna yang sedang menjalankan rondaan di sekitar perairan Pulau Omadal, kira-kira jam 11.30 malam.

Bot sarat muatan petrol yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Tanjung Pantau-Pantau, Semporna. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot tanpa nombor pendaftaran itu dikesan berada hampir dua batu nautika timur laut Tanjung Patau-Patau.

Katanya, ketika dihampiri tekong bertindak mengemudi botnya ke kawasan lebih cetek dan bertindak terjun melarikan diri ke kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas bot menemui tong-tong berisi minyak petrol dengan anggaran sebanyak 625 liter dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang disebalik kegiatan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Kawalan 1961 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duannya.

Sementara itu, katanya Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar ‘hot sport’ terutama kawasan sempadan perairan negara bagi membanteras penyeludupan dan kemasukkan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini.

Katanya, Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|