Terma ‘Premier’, Sabah perlu ikut langkah Sarawak

Terma ‘Premier’, Sabah perlu ikut langkah Sarawak

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah disarankan supaya mengikut jejak langkah negeri jiran yakni Sarawak, yang meluluskan pertukaran Ketua Menteri kepada Premier, baru-baru ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, langkah pertukaran tersebut dilihat meletakkan Sarawak bukan lagi setakat equal partners dengan negeri lain, bahkan status menuju autonomi lebih nyata.

Jelas beliau, pihak BERSATU Sabah memberikan penghormatan tinggi kepada kerajaan negeri tersebut yang berjaya meluluskan terma berkenaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.

“Hasil daripada tindakan Kerajaan Negeri Sarawak, BERSATU Sabah menyarankan supaya Kerajaan Negeri Sabah dapat mengikuti tindakan yang telah di laksanakan.

“Tindakan sebegini dapat merealisasikan harapan bekas pemimpin-pemimpin utama negeri kita seperti Allahyarham Tun Mustapha dan Allahyarham Tun Fuad Stephen sewaktu penubuhan negara Malaysia.

“Kesepakatan pemimpin-pemimpin Sabah harus di tonjolkan dalam isu-isu yang melibatkan hak-hak rakyat Sabah dan dengan kesepakatan yang kuat pastinya boleh menghalang segala anasir luar yang cuba untuk mengugat kestabilan politik negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Terdahulu, Sarawak melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 bagi menukar terma Ketua Menteri kepada ‘Premier’ diluluskan DUN Sarawak, pada semalam.

Ekoran daripada keputusan undian yang diluluskan itu, jawatan Ketua Menteri Sarawak telah digantikan nama baharu, ‘Premier Sarawak’.

Terdahulu, Khairul Firdaus turut mendedahkan, isu kemunduran yang berlaku di negeri Sabah disebabkan permainan politik yang terlampau dari sejak mencapai kemerdekaan, harus dihentikan dan fokus utama adalah untuk memajukan negeri ini dan rakyat jelata.

“Dengan meletakkan negeri Sabah sebagai status yang berlainan dengan negeri-negeri yang lain, pastinya generasi baru akan lebih memahami apakah pembentukan negara Malaysia sebenarnya.

“Negeri Sabah dan Sarawak adalah tunjang utama pembentukan Negara Malaysia dan pastinya dalam masa-masa yang mendatang mampu menjadi pelopor penyumbang utama ekonomi negara Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|