Sembilan individu ditahan, kes gaduh Kubota Square

Sembilan individu ditahan, kes gaduh Kubota Square

Tawau: Sembilan individu ditahan membabitkan kes pergaduhan tular yang didakwa berlaku di luar sebuah kafe di Kubota Square, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata, setakat ini, polis menerima dua laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, hasil daripada siasatan, polis sudah menahan sembilan individu yang dikenalpasti terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Kejadian dipercayai berpunca dari perselisihan faham yang berlaku di dalam kafe berkenaan sebelum membawa kepada pergaduhan di luar.

“Semua suspek yang ditahan kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret sebelum dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga 1 Februari depan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nor Azizulkifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta yang sama.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut secara terperinci sebelum tindakan selanjutnya dijalankan.

Sehubungan itu, Nor Azizulkifli berkata, orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam.

Katanya, masyarakat juga disarankan suoaya tidak menularkan maklumat tidak sahih kerana dibimbangi akan menganggu siasatan polis.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kanan Asisten Superintendan Zam Zarina Asri di talian 016-7375868 atau Inspektor Navind Raj Ashokumar di talian 014-3427025 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Dalam kejadian tular sejak pagi semalam, puluhan individu dirakam ‘bertempur’ sehingga menggunakan senjata seperti ‘samurai’ dan batang besi.

Rakaman berdurasi 30 saat itu sempat dirakam oleh seorang wanita sebelum tular di media sosial sejak pagi semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|