Pantai Pulau Berhala ibarat lautan sampah

Pantai Pulau Berhala ibarat lautan sampah

Sandakan: Ibarat lautan sampah. Itu yang dapat digambarkan apabila melihat longgokan sampah dengan kebanyakannya botol dan beg plastik memenuhi ruang sepanjang pesisir pantai Kampung Pulau Berhala, di sini.

Tinjauan mendapati jumlahnya terlalu banyak menyebabkan pemandangan pantai yang sepatutnya indah menjadi sebaliknya akibat pencemaran sampah yang tidak berkesudahan.

Longgokan botol dan beg plastik dipercayai dibawa dari laut ketika air pasang menyebabkan pesisir pantai Kampung Pulau Berhala kotor.

Sampah di pantai berkenaan bagaimanapun bukan berpunca daripada penduduk pulau, sebaliknya dipercayai dibawa ombak dari tempat lain sebelum terdampar di pantai Pulau Berhala dan menjadi timbunan sampah di sepanjang pantai.

Menurut penduduk, Aznan Jeremyroh, 20, keadaan itu berlarutan sejak beberapa bulan lalu berikutan benteng yang dipasang sebelum ini untuk memerangkap sampah dari laut runtuh dan menyebabkan sampah terdampar ke pesisir pantai berkenaan.

Aznan Jeremyroh

Katanya, usaha untuk membersihkan pesisir pantai itu sering dilakukan oleh penduduk dan pasukan keselamatan yang berada di kawasan berkenaan secara bergotong royong namun ia sukar untuk diselesaikan kerana setiap hari sampah akan terdampar di pesisir pantai.

“Semua sampah ini sebenarnya dari laut dan biasanya ia akan naik apabila air pasang dan terdampar di pesisir pantai kampung kami.

“Kami ada juga melakukan gotong royong dengan penduduk kampung dan askar yang menjaga pulau ini tetapi ia tidak dapat dihabiskan setiap hari kerana akan bertambah terutama selepas air pasang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd Jaidin Per

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Jaidin Per, 40, mengakui keadaan itu menyebabkan kampungnya kelihatan kotor dipenuhi sampah sarap.

“Bila difikir, tidak sedap mata memandang tetapi ini juga disebabkan keadaan cuaca dan air pasang. Ada masa dia bertimbun penuh begini disebabkan dibawa air pasang.

“Baru-baru ini berlaku ribut di kampung kami menyebabkan benteng yang dipasang rosak sepenuhnya dan belum sempat dibaiki sehingga kini,” katanya.

Katanya lagi, soal kebersihan memang sudah menjadi tanggungjawab mereka sebagai penduduk namun tidak semua dapat memberi komitmen untuk membersihkannya memandangkan pekerjaan penduduk rata-rata nelayan yang terpaksa berada di laut.

“Sudah tentu keadaan ini membahayakan kesihatan penduduk kerana nyamuk aedes mudah membiak di sebalik takungan air dalam botol plastik.

“Jadi kami sedaya upaya membersihkan jika ada kelapangan dan ada masanya ia tertimbun penuh sebegini apabila semua penduduk tidak sempat membersihkan pesisir pantai,” katanya yang bekerja sebagai pemandu bot di kampung itu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|