Gagal patuh syarat sah lesen, dua warga Indonesia ditahan Maritim Malaysia

Gagal patuh syarat sah lesen, dua warga Indonesia ditahan Maritim Malaysia

TAWAU: Dua lelaki warganegara Indonesia ditahan selepas didapati gagal mematuhi syarat sah lesen dalam tangkapan berasingan di sini semalam.


Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, terdahulu bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OPS PLUTO TIMUR 2/2023 dan OPS TIRIS telah berjaya mengesan dan memeriksa sebuah bot nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar Perairan Inderasabah pada pukul 12.15 tengah hari.


“Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 6.8 batu nautika selatan Inderasabah itu mendapati dua lelaki warga Indonesia masing-masing berumur 41 dan 24 tahun bertindak selaku nakhoda dan kru bot tersebut.


“Hasil dokumentasi bot tersebut telah mendapati nama nakhoda bot tersebut tiada dalam pendaftaran dan gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.

“Kira-kira 15 minit selepas itu, sebuah lagi bot kargo tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi sama.

“Pemeriksaan ke atas sebuah bot kargo yang sarat membawa muatan buah sawit itu mendapati seorang nakhoda lelaki warga Indonesia berumur 37 tahun, juga gagal memaklumkan pertukaran nakhoda bot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Kedua-dua bot bersama muatan serta kesemua krew tersebut seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952-MSO 1952 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002 kerana didapati melanggar syarat sah lesen.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|