Sambut baik pelantikan guru baharu: KGKS

Sambut baik pelantikan guru baharu: KGKS

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik dan menyokong penuh tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia melantik 6034 guru baharu lantikan secara kontrak bagi mengatasi isu kekurangan guru sekolah.

Presidennya, Murkam Hussien berkata, sudah pasti, tindakan ini mampu memberikan kelegaan bukan sahaja kepada pihak sekolah malah dalam kalangan masyarakat yang peka terhadap pendidikan.

Beliau berkata, Isu kekurangan guru dilihat mampu memberi impak kepada proses pembelajaran dan kemenjadian murid di sekolah.

“Sekiranya tenaga pengajar mencukupi tentunya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik. Hal ini sekaligus dapat melahirkan murid yang berkualiti selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan”, katanya dalam kenyataan.

Isnin lalu KPM dalam kenyataan media memaklumkan isu kekurangan 20,000 guru sekolah cuba diatasi apabila seramai 6,034 guru baharu lantikan secara kontrak ditempat di sekolah dibawah kelolaan kementerian itu.

KPM berkata, daripada jumlah itu seramai 1,858 calon ditempatkan di sekolah menengah dan manakala 4,176 lagi di sekolah rendah.

Murkam berkata, dalam konteks lantikan guru baharu, KGKS menyarankan agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan keutamaan kepada anak-anak Sabah yang berkelayakan untuk berkhidmat sebagai pendidik.

Katanya, KGKS amat yakin dengan kesungguhan dan komitmen anak-anak Sabah dalam mengangkat mutu pendidikan di Malaysia.

“KGKS juga mengharapkan agar pelbagai inisiatif KPM mampu menoktahkan isu kekurangan guru di negara ini termasuk di Sabah”, tegasnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|