SMJ Cup 2024, Sang Badak seri dengan KL City FC

SMJ Cup 2024, Sang Badak seri dengan KL City FC

KOTA KINABALU: Perlawanan kedua Sabah FC menentang pasukan KL City FC dalam kempen Pra Musim SMJ Cup 2024 yang berlangsung di Stadium Likas malam tadi berakhir seri tanpa sebarang jaringan gol.

Aksi skuad Sang Badak kelihatan mengancam pada di kedua-dua masa perlawanan dengan beberapa percubaan ke arah pintu gawang gol pasukan lawan.

Selepas berjaya membenam pasukan Hougang Utd FC pada perlawanan pembukaan pada Isnin lalu dengan dua jaringan gol berbalas satu, nampaknya kesebelasan utama Sabah FC yang turun pada malam ini agak konsisten lebih-lebih lagi dengan kehadiran bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Penyerang Sabah FC, Telmo hampir mengamatkan Stadium Likas seawal minit ke 13 namun kelincahan penjaga gol KL FC, Azmi Ghani berjaya menampan baik percubaan luar kotak penalti pemain import itu.

Asakan demi asakan ke gawang gol KL FC hampir membuahkan hasil apabila tandukan pemain no 4 Sabah, Gabriel Perez berjaya menerpa pintu gol namun dibatalkan pengadil kerana melakukan kekasaran kepada pihak lawan di dalam kotak penalti.

Kedua-dua pasukan bermain dengan seimbang meskipun beraksi dalam keadaan hujan dan padang basah, dengan terdapat beberapa cubaan baik di antara Sabah FC dan KL City FC.

Pasukan pelawat kemudiannya hampir mendukakan penyokong tuan rumah apabila ayam tambatan import mereka, Joven berjaya merembat masuk gol pada minit ke 83 namun jaringan berkenaan dibatalkan kerana pembantu pengadil mengesahkan beliau berada di kedudukan offsaid.

Permainan kemudiannya bersambung dengan beberapa pergerakan menarik antara kedua pasukan dan keputusan perlawanan berakhir tanpa sebarang gol.

Sabah FC akan menentang pasukan Kuching City FC pada Jumaat ini untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan SMJ Cup 2024.

Dua pasukan teratas akan beraksi dalam perlawanan Final yang berlansung di Stadium Likas pada Ahad. Aksi kesemua pasukan yang berentap dalam merebut piala Pra Musim SMJ Cup 2024 boleh dilayari (berbayar) di laman Facebook rasmi Deasoka.com di pautan https://www.facebook.com/DeasokaNews.

(Gambar kredit Facebook rasmi Sabah Football Club)

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|