Sukarelawan golongan muda beri impak besar bangunkan negara

Sukarelawan golongan muda beri impak besar bangunkan negara

Kota Kinabalu: Kebangkitan golongan muda menyertai kumpulan sukarelawan dan melakukan khidmat masyarakat tanpa mengharapkan ganjaran harus dijadikan contoh semua pihak.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, kegiatan sukarelawan yang dilakukan golongan muda adalah sesuatu yang baik ketika masyarakat berdepan dengan zaman individulistik yang melihat dunia dari dalam bilik hanya melalui media sosial.

Katanya, usaha golongan ini berkumpul dalam satu persatuan dan memberi khidmat masyarakat tanpa mengira warna kulit, ideologi politik, suku kaum dan agama adalah petanda baik masa depan negara ini.

“Mereka ini terdiri daripada golongan yang mempunyai pelbagai latar belakang dan rata-ratanya adalah orang muda berusia di bawah 40 tahun.

“Apa yang saya dapati, ada satu kebangkitan dalam kalangan anak muda untuk memberi semangat khidmat masyarakat tanpa mengharapkan ganjaran dan ini sesuatu yang baik untuk masa depan negara,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Malam Aspirasi Sukarelawan di sini, malam tadi.

Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang juga Penasihat MyAmal Sabah, Datuk Saifulzaman Sangul dan selebriti yang juga sukarelawan, Diana Amir.

Mengulas lanjut, Jahid berkata, walaupun jumlah golongan anak muda yang menyertai sukarelawan masih sedikit namun tetap mendatangkan impak yang besar dalam membangunkan negara.

“Ini kerana mereka dilihat menggerakkan sesuatu di luar kotak apatah lagi anak-anak muda ini datang daripada profesion yang berlainan dan sangat menarik perhatian bagi saya mewakili kerajaan negeri.

“Mereka berkumpul dalam membentuk satu perkongsian pintar untuk memaksimumkan input yang ada, dengan kos yang minimum dan mereka memperlihatkan kasih sayang yang mendalam bagi menjalankan perkhidmatan bukan saja di negeri ini tetapi sehingga ke luar negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli menyifatkan golongan itu sebagai penyambung legasi negara yang mana selagi masih ada sifat mulia ia petanda baik untuk negara meneruskan kehidupan pada masa hadapan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|