Jangan biar Sabah FC digelar ‘ayam mati’ – Bung Moktar

Jangan biar Sabah FC digelar ‘ayam mati’ – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Pemain Sabah FC diingatkan supaya mempunyai mentaliti pasukan bergelar juara dalam setiap perlawanan kempen Liga Malaysia tahun ini bagi mengelak digelar pasukan ‘ayam mati’.

Peringatan itu diberikan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu setiap pemain Sabah FC supaya bersungguh-sungguh memberikan kemenangan kepada pasukan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin

Jelasnya, beliau tidak mahu melihat adanya sikap dalam pasukan yang mahukan kemenangan tetapi semangat dan permainan yang ditunjukkan pemain seolah-olah mahu kalah.

Tegasnya, setiap pemain Sabah FC mesti menunjukkan gaya seorang juara yang inginkan kemenangan agar disegani oleh pihak lawan.

Antara pemain Sabah FC yang hadir pada majlis makan malam amal Sabah FC di Kota Kinabalu.

“Harapan saya dengan kewujudan pasukan baharu ini, Sabah FC akan menjadi kelab yang berkualiti dan dapat memperagakan gaya permainan terbaik serta mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menang dalam setiap perlawanan.

“Saya nampak ketrampilan Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee memang mahu menang. Oleh itu semua pemain harus dengar setiap arahan yang diberikan jurulatih,” katanya pada majlis Makan Malam Amal Sabah FC Fu yang diadakan, di sini, malam tadi.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata Sabah FC sangat terhutang budi kepada Kim Swee selain turut berterima kasih tergadap sokongan padu pihak pengurusan yang sentiasa komited memastikan skuad Sang Badak mampu memberikan saingan sengit dalam Liga Malaysia musim ini.

“Tahun ini Sabah FC akan tampil memberikan saingan hebat kepada pasukan ternama lain dalam Liga Malaysia berdasarkan prestasi serta persiapan awal yang dijalankan sejak 2021 dan diteruskan lagi dengan perubahan besar yang dilakukan pasukan sejak Kim Swee dilantik menjadi Ketua Jurulatih Sabah FC,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|