SAFA komited lahirkan lebih ramai pengadil bola sepak

SAFA komited lahirkan lebih ramai pengadil bola sepak

Kota Kinabalu: Seramai 16 pengadil termasuk seorang wanita layak mengadili Liga Malaysia bagi tahun 2022 selepas lulus Seminar Tahunan Pengadil dan Ujian Kecergasan 2022, hari ini.

Seminar anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) itu diadakan selama empat hari bermula 26 Januari lalu.

Program berkenaan dikendalikan Ketua Unit Pengadil FAM, Kassim Kadir Bacha dan dibantu Jawatankuasa Pengadil Teknikal, M Sivanesan.

Timbalan Presiden SAFA, Datuk Abdul Rahman Zakaria berkata, SAFA amat komited untuk melahirkan lebih ramai pengadil baharu dan berkualiti untuk diketengahkan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Katanya, usaha itu selari dengan fungsi sebenar SAFA dalam memastikan pembangunan bola sepak berterusan di negeri ini.

“SAFA sentiasa bekerjasama dengan FAM dalam menganjurkan program melahirkan pengadil berkualiti dari semasa ke semasa.

“Ini kerana kerjaya pengadil amat penting dan sudah pasti memberi sumbangan besar kepada pembangunan bola sepak negeri dan negara secara umumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian lencana pengadil yang diadakan di Hotel Klagan, di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, pihaknya akan sentiasa menggalakkan lebih ramai peminat sukan bola sepak supaya menceburi bidang pengadil di negeri ini.

“Kita ingin menggalakkan tumpuan kerjaya pengadil bukan setakat di peringkat daerah, negeri dan kampung malah di peringkat lebih tinggi.

“Ini kerana kerjaya sebagai seorang pengadil juga adalah salah satu komponen kejayaan sesuatu sukan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|