Status Mudzrimar akan disahkan

Status Mudzrimar akan disahkan

Kota Kinabalu: Polis akan mendapatkan kepastian berhubung status sebenar anggota Abu Sayyaf, Mudzrimar @ Mundi Sawadjan yang diletakkan semula dalam senarai individu yang dikehendaki.

Sebelum ini, individu terbabit dilaporkan terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak berkuasa Filipina 17 Mei tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan pengesahan dari negara jiran.

“Kita akan ‘confirm’ balik dengan pihak berkuasa Filipina,” katanya semasa ditemui selepas majlis istiadat tamat latihan dan penyampaian sijil pelantikan pegawai sukarelawan polis siswa/siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

Persoalan itu tercetus selepas kenyataan dikeluarkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebelum ini menyatakan, Mudzrimar adalah antara 20 warga Filipina yang dikehendaki.

Semua individu terbabit dipercayai terbabit dalam kes penculikan untuk wang tebusan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Razarudin menyampaikan hadiah kepada Pelatih Terbaik Akademik Amirul Nabill Razarudin.

Sementara itu, sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, Razarudin menasihati orang ramai supaya sentiasa memaklumkan kepada polis sepanjang ketiadaan mereka.

Namun katanya, PDRM juga akan mempergiatkan rondaan dikawasan kediaman serta premis perniagaan dari semasa ke semasa.

“Ia adalah antara usaha polis bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini seperti pecah rumah ketika musim perayaan.

“Kita ingin mengingatkan pemilik rumah atau premis supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan sepanjang ketiadaan mereka atau mengisi borang di portal PDRM,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|