Covid-19 Sabah: Penutupan sekolah untuk lindungi pelajar dan guru

Covid-19 Sabah: Penutupan sekolah untuk lindungi pelajar dan guru

Kota Kinabalu: Keputusan kerajaan mengarahkan penutupan sekolah yang mencetuskan kluster Covid-19 semalam dibuat bagi melindungi lebih ramai pelajar dan guru daripada terkena jangkitan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia juga bagi memastikan jangkitan Covid-19 dapat dibendung atau ‘localised’ dan tidak merebak ke tempat lain.

“Tindakan drastik ini juga adalah peringatan kepada semua pengurusan sekolah termasuk guru, murid dan ibu bapa agar mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko jangkitan ke atas murid dan guru sekolah.

“Semua prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja atau sekolah hendaklah dikuatkuasakan secara ketat,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Semalam, Masidi mengumumkan keputusan kerajaan untuk menutup serta merta sekolah yang terbabit dengan kluster Covid-19 di seluruh negeri.

Sementara itu, Sabah hari ini mencatat sedikit penurunan kes baharu Covid-19 kepada 267 kes berbanding 358 kes yang dilaporkan semalam.

Masidi berkata, lapan daerah mencatat kes harian dua angka, sama dengan jumlah daerah semalam tetapi Tuaran melompat ke tangga teratas dengan 55 kes baharu.

“Dearah Sandakan pula mencatat 53 kes, diikuti Kota Kinabalu (53 kes), Tawau (22 kes) dan Penamapang (14 kes),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hanya 16 kes baharu daripada kluster aktif direkodkan hari ini.

Katanya, 45 kes hari ini pula membabitkab kanak-kanak di bawah 12 tahun yang belum layak menerima vaksin.

“Seramai 13 orang lagi pesakit hari ini adalah mereka yang belum divaksin walaupun layak memperolehinya,” katanya.

Katanya, sebanyak 264 daripada 267 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala satu kes masing-masing dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 29 Januari 2022
Sabah 267 (358)

Tuaran 55 (39)
Sandakan 53 (41)
Kota Kinabalu 53 (66)
Tawau 22 (24)
Penampang 14 (32)
Papar 12 (22)
Ranau 10 (13)
Putatan 10 (20)
Lahad Datu 7 (6)
Kudat 7 (6)
Kuala Penyu 6 (0)
Tenom 6 (0)
Kota Marudu 4 (19)
Semporna 2 (2)
Tambunan 2 (8)
Beaufort 2 (27)
Nabawan 1 (0)
Kota Belud 1 (17)
Beluran 0 (0)
Telupid 0 (2)
Kinabatangan 0 (7)
Kunak 0 (4)
Sipitang 0 (0)
Keningau 0 (3)
Pitas 0 (0)
Tongod 0 (0)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 28 Januari 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|