Sarang penagih diserbu, lima termasuk seorang wanita ditahan

Sarang penagih diserbu, lima termasuk seorang wanita ditahan

Tawau: Lima individu termasuk seorang penagih wanita ditahan dalam serbuan di sebuah bangunan terbiar di pusat bandar di sini, semalam.

Dalam operasi berkenaan, semua kelima-lima individu terbabit ditahan ketika sedang leka menagih dadah.

Lima termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan di sebuah bangunan terbiar disyaki sarang penagih dadah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi dijalankan hasil maklumat yang disalurkan oleh orang awam.

Katanya, pemeriksaan dan serbuan terus dilakukan terhadap bangunan terbiar yang dikenalpasti dijadikan sebagai sarang penagihan dadah.

Antara peralatan disyaki digunakan untuk menagih dadah dirampas. 

“Dalam operasi ini, polis berjaya menahan seorang wanita dan empat lelaki yang sedang leka menagih dadah semasa serbuan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui satu paket lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu bersama plastik penyedut minuman disyaki digunakan untuk menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jasmin berkata, semua suspek terus ditangkap dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil ujian awal saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis syabu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Sehubungan itu, Jasmin berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas orang awam dalam menyalurkan maklumat.

Katanya, tindakan berani seperti itu amat dihargai pihak polis dan menyeru supaya masyarakat terus bersama-sama pasukan keselamatan dalam memerangi najis dadah di Daerah Tawau ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|