Kota Kinabalu: Tiada sebarang bayaran dibuat kerajaan negeri kepada Berjaya Land Bhd untuk menjalankan kajian mengenai cadangan memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis.
Perkara itu dijelaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai soal bayaran dan pengalaman Berjaya Land dalam mengendalikan kajian berkenaan pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Hajiji berkata, kajian itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Berhad (QSB) bagi melihat kemungkinan memindahkan KKIA yang sudah mencapai kapasiti penuh sembilan juta penumpang setahun (MPPA).
Katanya, kerajaan bersetuju melantik Berjaya Land Bhd untuk melaksanakan kajian itu berdasarkan keyakinan ia mempunyai pengalaman dalam melaksanakannya, manakala QSB dilibatkan sebagai syarat kerajaan negeri walaupun tiada pengalaman berkaitan.
“Qhazanah tidak membayar walau sesen pun untuk membuat kajian kemungkinan pemindahan lapangan terbang ini dan begitu juga kerajaan tidak mengeluarkan sebarang kewangan dalam membuat kajian ini.
“Dari segi pengalaman Berjaya Land, saya tidak tahu secara menyeluruh tetapi jika ia tiada pengalaman sekalipun dalam perkara ini, saya yakin mereka akan membuat ‘engagement’ dengan kosultan di luar negara atau dalam negeri untuk membuat kajian ini,” katanya.
Terdahulu, menjawab soalan asal Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang), Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, berkata kajian itu harus dilihat secara positif dengan mengambil contoh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipindahkan dari Subang ke Sepang.
“Perpindahan itu membawa pembangunan yang inklusif kepada bandar Sepang. Kita juga berharap, sekiranya hasil kajian mendapati projek ini berdaya maju untuk dilaksanakan, ianya kelak akan membawa kesan limpahan kepada pembangunan Kimanis dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Abidin berkata, kerajaan memberi kebenaran kepada QSB bersama Berjaya Land Berhad (BLB) untuk menjalankan kajian terperinci itu sebelum diserahkan kepada perhatian Kementerian Pengangkutan untuk pertimbangan selanjutnya.
Abidin berkata, statistik pergerakan penumpang di KKIA pada 2019 mencatat sebanyak 9.4 juta penumpang setahun (MPPA) iaitu melebihi kapasiti sebenar sebanyak sembilan MPPA.
“Bagaimanapun, penularan COVID-19 memberi kesan yang ketara terhadap aliran trafik penumpang di KKIA pada 2020 yang menurun dengan drastik kepada 2.3 MPPA, manakala pada 2021 menurun lagi kepada 2.1 MPPA.
“Namun demikian, aliran trafik dijangka kembali pulih dalam tempoh tiga tahun seperti mana sebelum pandemik COVID-19,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Jin Zhe mengenai situasi yang bakal berlaku jika KKIA tidak dipindahkan, Abidin berkata jumlah maksimum mampu ditampung KKIA jika dibesarkan lagi ialah 18 MPPA.
Bagaimanapun, katanya unjuran menunjukkan kapasiti penumpang di lapangan terbang itu akan terus meningkat sehingga 36 MPPA menjelang 2035, sekali gus menyebabkan KKIA berdepan masalah kesesakan yang teruk.
-Deasoka