Remaja pamer aksi ‘stunt’ ditahan

Remaja pamer aksi ‘stunt’ ditahan

Penampang: Keterujaan seorang remaja lelaki mempamerkan aksi ‘berbahaya’ ketika menunggang motosikal di Jalan Kota Kinabalu-Putatan, di sini, tidak berpanjangan apabila dia berjaya ditahan polis.

Remaja berusia 18 tahun terbabit ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, dalam operasi ‘Op Samseng Jalanan’ yang dijalankan, kelmarin.

Lima saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan terhadap motosikal remaja terbabit.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi yang dijalankan selama enam jam itu berakhir pada jam 5 pagi.

Katanya, pasukan polis membuat rondaan di sekitar pusat beli belah One Place Mall sebelum mengesan dua remaja yang sedang melakukan aksi ‘stunt’.

“Pasukan operasi terus bertindak mengekori kedua-dua suspek yang masih meneruskan aktiviti berbahaya itu sehingga ke kawasan Kampung Ulu Putatan, di sini.

“Leka dengan kehadiran polis, suspek berjaya ditahan manakala seorang lagi rakannya pula berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, pihaknya mengenalpasti lokasi berkenaan selalunya menjadi ‘hotspot’ golongan remaja melakukan aksi berbahaya.

“Antara aksi berbahaya termasuk melakukan ‘wheelie’ dan ‘superman’, sehingga melanggar lampu isyarat serta pelbagai aksi lain.

“Ia bukan saja membahayakan diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya lain yang menggunakan jalan berkenaan,” katanya.

Mohd Haris berkata, hasil penahanan remaja terbabit, polis menyita motosikal dan mengeluar lima saman termasuk kesalahan mengubahsuai ekzos motosikal.

Katanya, saman turut dikeluarkan kerana menghalang lalulintas, nombor plat tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin pandang belakang dan aksesori motosikal yang tidak sempurna.

“Remaja terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara ltidak melebihi lima tahun serta denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih dari RM15,000.

“Jika sabitan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih dari RM50,000.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut memeriksa 29 kenderaan dan mengeluarkan 15 saman atas pelbagai kesalahan lalulintas.

Katanya, pihak polis amat memandang serius terhadap kegiatan samseng jalanan yang semakin berleluasa di daerah ini.

“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan ini.

“Masyarakat terutamanya golongan remaja juga dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti samseng jalanan.

“Polis turut menggesa golongan ibu bapa supaya memainkan peranan dalam memantau kegiatan anak-anak supaya tidak terlibat dengan gejala berbahaya ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|