SAR warga emas hilang disambung esok

SAR warga emas hilang disambung esok

Sipitang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kelima warga emas yang dikhuatiri hilang ketika pergi ke kebunnya di Kampung Ulu, di sini, sejak Sabtu lalu, ditangguh pada 6 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang kampung memulakan operasi SAR hari kelima pada 7.30 pagi.

Pasukan bomba bersama penduduk kampung yang menjalankan SAR warga emas dikhuatiri hilang di Kampung Ulu, Sipitang.

Katanya, operasi SAR dengan radius jarak 5 kilometer pencarian di kawasan ladang kelapa sawit dan kawasan hutan.

“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR hari kelima ditangguh jam 6 petang tadi dan akan disambung semula pada pagi esok.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, lelaki warga emas Asmad Bulat, 81, dikhuatiri hilang selepas keluar seorang diri untuk ke kebun getah dan buah-buahan miliknya.

Susulan itu, anak mangsa bersama penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan berhampiran namun gagal menemui mangsa sebelum laporan polis dibuat bagi membantu mencari mangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|