Tumpahan merkuri, tiga pelajar cedera

Tumpahan merkuri, tiga pelajar cedera

Penampang: Tiga pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peter Mojuntin, di sini, dilaporkan cedera, dalam insiden tumpahan merkuri akibat termometer pecah, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, ketiga-tiga pelajar terbabit dikatakan terus dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum ketibaan pasukan bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 9.38 pagi.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba bertindak membersihkan sisa tumpahan merkuri menggunakan serbuk sulfur.

“Sisa tumpahan berkenaan terus dimasukkan ke dalam ‘disposable bag’ untuk tindakan pelupusan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tiga pelajar yang mengalami cedera di tangan dihantar ke hospital oleh pihak pengurusan sekolah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.05 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|