Pelajar UMS diminta waspada taktik ‘scammer’ tawar rumah sewa

Pelajar UMS diminta waspada taktik ‘scammer’ tawar rumah sewa

Kota Kinabalu: Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan taktik ‘scammer’ yang menawarkan rumah sewa di sekitar kampus UMS yang giat dipromosikan menerusi media sosial.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pelajar baharu dan lama perlu peka dengan modus operandi yang dijalankan penipu dalam talian itu.

“Isu ini timbul apabila penuntut mula kembali ke kampus untuk meneruskan kaedah pengajian secara bersemuka selepas semester dibuka. Peluang inilah yang diambil mereka untuk mengaut keuntungan.

“Justeru itu, saya menyeru kepada para penuntut untuk merujuk kepada Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) UMS bagi sebarang urusan yang berkaitan dengan rumah sewa bagi mengelakkan penipuan seperti ini dari terus berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Kasim turut mengingatkan kepada mereka yang mencari rumah sewa sendiri perlu terlebih dahulu membuat semakan dan memeriksa rumah sebelum membuat bayaran deposit bagi mengelakkan mereka ditipu.

“Ia juga bagi memastikan rumah sewa berkenaan memenuhi keperluan minimum ditetapkan seperti penyediaan bekalan elektrik, air, kipas, tandas dan dapur.

“Kita tidak mahu penyewa mengambil kesempatan dengan menyediakan kemudahan yang tidak sesuai dan tidak lengkap yang akan menyusahkan pelajar kita nanti.

“Pemilik rumah di sekitar UMS yang berminat untuk menyewakan rumah atau bilik kepada pelajar boleh berhubung dengan PNRF, UMS agar pihak kami dapat mengenal pasti dan mengesahkan yang penyewa bukanlah scammer,” katanya.

Untuk rekod, laman web https://rumahsiswa.mohe.gov.my/ sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memudahkan pelajar mendapat maklumat dan senarai rumah sewa.

Sebarang maklumat lanjut berhubung rumah sewa, para pelajar UMS boleh menghubungi PNRF di talian 088-320000 sambungan 205500 atau melalui emel pnrf@ums.edu.my.

Sementara itu, dalam sebuah laporan akhbar nasional, hari ini, mendedahkan seramai 10 penuntut UMS yang mencari rumah sewa ditipu dengan kerugian mencecah RM30,000.

Turut dilaporkan, seorang wanita yang dikenali sebagai ejen rumah sewa ditahan polis di ibu negeri ini selepas didapati terbabit dalam penipuan sewa rumah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|