SAR tekong hilang ditamatkan

SAR tekong hilang ditamatkan

Kudat: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang tekong yang hilang ketika menangkap ikan di perairan Sibogo, di sini, ditamatkan hari ini.

Operasi SAR mangsa, Rijal Idris, 47, yang memasuki hari ketiga terpaksa ditamatkan selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak menemui sebarang petunjuk positif.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Maritim Malaysia, mangsa yang hilang sejak Isnin lalu selepas bot yang dinaiki karam belum ditemui sehingga kini.

“Pencarian oleh aset udara dan laut serta dibantu oleh komuniti maritim sehingga kini tidak berjaya menemui sebarang petunjuk positif berkaitan mangsa.

“Keluasan sektor pencarian operasi SAR selama tiga hari ini merangkumi 126 batu nautika persegi,” katanya kenyataan itu.

Kenyataan turut berkata, SAR mangsa kemudian ditamatkan hari ini.

“Bagaimanapun, aset-aset yang beroperasi secara rutin harian akan terus membuat pemantauan di sekitar perairan kudat.

“Pihak Maritim Malaysia berterima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Agensi Pertahanan Awam (APM) yang membantu dalam Op CARILAMAT kali ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|