Dua pelajar selamat, kereta terbabas dan hampir terjunam ke laut

Dua pelajar selamat, kereta terbabas dan hampir terjunam ke laut

Kota Kinabalu: Dua pelajar berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki terbabas ke tebing batu dan hampir terjunam ke dalam laut di Jalan Tun Fuad Stephen, Tanjung Lipat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, pemandu lelaki dan penumpang wanita masing-masing berusia 19 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu dan penumpang selamat selepas kereta dinaiki terbabas dan hampir terjunam ke dalam laut di Jalan Tun Fuad Stephen, Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, siasatan mendapati pemandu bersama seorang penumpang menaiki kereta jenis Toyota Camry dari arah pusat bandar raya menuju ke Likas.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, selepas lampu isyarat SICC, pemandu yang memandu di lorong kanan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.

Keadaan kereta Toyota Camry yang hampir terjunam ke laut selepas terbabas dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephen, Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

“Kereta dipandu lelaki terbabit telah termasuk ke dalam parit di bahu kiri jalan sebelum terjatuh ke kawasan batu di tebing laut.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan sebagai pesakit luar dan doktor memaklumkan kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jo berkata, akibat kejadian itu juga, kereta dipandu lelaki terbabit mengalami kerosakan utama dibahagian hadapan dan bawah kenderaan.

“Siasatan masih diteruskan dan sehingga jam 5 petang tadi, pemandu masih belum membuat laporan polis,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|