Ketua ajaran ‘Wali 7’ antara ditahan ESSCOM

Ketua ajaran ‘Wali 7’ antara ditahan ESSCOM

Lahad Datu: Seorang daripada tiga pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sebuah ladang di Kinabatangan, semalam dikenal pasti sebagai ketua kumpulan ajaran ‘Wali 7’.

Ketuanya berusia 34 tahun juga adalah guru kepada kumpulan berkenaan.

Manakala dua lagi lelaki berusia 27 dan 49 tahun adalah sebagai pembantunya.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, beberapa barang peribadi milik seorang daripada individu terbabit iaitu pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai jenis tangkal turut dirampas.

Menurutnya, berdasarkan risikan awal didapati kumpulan terbabit diketuai oleh seorang guru dengan dibantu dua individu.

“Kumpulan ini mula bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dengan membawa ajaran ilmu batin dan kebal serta didapati berkembang dengan pantas.

“Kumpulan ajaran ini juga menarik minat penyertaan pekerja ladang khususnya warga asing di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, pada waktu ini kumpulan terbabit dipercayai mempunyai seramai 20 pengikut.

Sehubungan itu, Hamzah mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu gugat ketenteraman awam dan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Sementara itu, rakaman video kumpulan itu sedang ‘menuntut’ ilmu kekebalan turut dikongsikan di WhatsApp Media ESSCOM.

Dalam video berdurasi sembilan saat memaparkan
sekumpulan individu mendakwa pengikut ‘wali tujuh’ sedang ‘menuntut’ ilmu di sebuah ladang di Kinabatangan.

Ahli kumpulan ajaran Wali Tujuh berlilit kain putih di kepala sambil duduk bersila dan menadah tangan yang digerakkan secara turun naik dengan cepat, kononnya untuk mempelajari ilmu batin dan kebal.

Peliknya, seorang daripada mereka hanya berseluar pendek, menimbulkan andaian yang mereka mungkin menuntut ajaran sesat, sebelum polis bertindak menyerbu mereka berdasarkan video berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|