Love KK Network hidupkan semula rasa cinta terhadap ibu negeri

Love KK Network hidupkan semula rasa cinta terhadap ibu negeri

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mewujudkan inisiatif ‘Love KK Network’ bagi menghidupkan semula kesedaran awam dan rasa cinta kepada bandar raya Kota Kinabalu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip, berkata inisiatif itu yang akan dilancarkan pada 14 Februari ini bertindak sebagai kompas utama DBKK dalam membuat perancangan untuk bandar raya ini.

Upacara menaikkan bendera DBKK sempena ulang tahun ke-22 bandar raya Kota Kinabalu.

Beliau berkata perancangan itu merangkumi usaha pembangunan, pengindahan, penghijauan, pendidikan, kebersihan dan kemajuan bandar raya yang akan dilaksanakan melalui lima komponen utama ditetapkan DBKK.

“Lima komponen itu ialah Clean KK, Vibrant KK, Beautiful KK, Green KK dan Livable KK,” katanya dalam amanatnya sempena sambutan ulang tahun ke-22 bandar raya Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, Love KK Network diwujudkan selepas beberapa sesi percambahan fikiran bersama pelbagai pihak yang memutuskan perlunya satu usaha baharu untuk menaikkan semula imej bandar raya Kota Kinabalu.

Menerusi perbincangan dengan pelbagai pihak itu, Noorliza berkata DBKK mengambil inisiatif mewujudkan Love DBKK Network yang akan dilaksanakan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun bermula tahun ini.

Selain itu, beliau berkata DBKK juga akan meneruskan usaha meningkatkan pembabitan masyarakat melalui rundingan awam, sesi Town Hall dan dialog yang bersandarkan pendekatan ‘KK Moving Forward’ dan ‘Citizen Centric’.

“Pandangan masyarakat dan pihak berkepentingan akan didengar terutama dalam menangani isu kebersihan dan pembangunan.

“Pada tahun ini, Program Town Hall 2022 DBKK akan diadakan pada 9 Februari ini secara hibrid,” katanya.

Sementara itu, Noorliza berkata DBKK juga akan meneruskan halatuju meningkatkan tahap kebersihan dan pengurusan sisa pepejal secara bersepadu dengan mengadakan kolaborasi strategik bersama kumpulan komuniti atau badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mewujudkan komuniti ‘waste disposal’, pusat kompos, kitar semula dan penyelesaian isu sampah atas air.

Katanya, DBKK juga akan memantapkan lagi prasarana desentralisasi Pasar Besar KK melalui pewujudan beberapa pasar borong di kawasan luar pusat bandar raya.

“DBKK juga akan menambah pencahayaan kawasan bandar raya dan cadangan menambah Smart Pole iaitu mengganti, tiang lampu sedia ada milik DBKK kepada tiang lampu berintegrasi sistem pemancar komunikasi.

“Usaha turut diteruskan untuk pengindahan, pencahayaan dan peningkatan tahap keceriaan landskap lagun, taman poket serta kekemasan landskap pusat bandar.

Katanya, DBKK juga akan meneruskan usaha mewujudkan identiti bandar raya Kota Kinabalu yang merangkumi kawasan Kampung Air, Jalan Gaya, Segama dan kawasan lain yang mempunyai nilai sejarah.

Selain itu, katanya pengukuhan potensi pembangunan pelancongan kawasan luar bandar melalui usahasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan komuniti setempat.

Tidak ketinggalan, beliau berkata DBKK akan terus memperkasa penguatkuasaan undang-undang kecil DBKK demi kesejahteraan warga bandar raya.

Noorliza berkata, pada masa sama DBKK akan mewujudkan sistem pemantauan setinggan yang efektif serta memantapkan lagi kedudukan dan keupayaan kewangan DBKK.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|