SAR pemancing hilang di laut ditangguh

SAR pemancing hilang di laut ditangguh

Kota Kinabalu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri hilang di laut ketika memancing di perairan Pulau Tiga dan Pulau Mengalum, di sini, ditangguh jam 6 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi SAR akan disambung pagi esok.

Pasukan bomba yang melakukan operasi SAR di sekitar perairan Kota Kinabalu.

Katanya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu telah diarahkan untuk membantu SAR dan melakukan operasi dengan radius 80 kilometer.

“Operasi SAR membabitkan perairan Pulau Sepanggar, Pulau Gaya, Pulau Memutik, perairan Tanjung Aru dan Kampung Lok Urai serta Pulau Sulug.

“Bagaimanapun mangsa masih gagal ditemui dan operasi ditangguh kira-kira jam 6 petang tadi dan operasi akan diteruskan pada hari esok,” katanya dalam kenyataan media, sebentar tadi.

Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Operasi SAR turut dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, mangsa Lauren Alipin, 33, warga Filipina yang keluar ke laut menggunakan bot pam, pada 7 Februari lalu, disedari hilang selepas gagal dihubungi oleh isterinya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|